Kanak-kanak kena ikat dan diseret seperti haiwan gara-gara mencuri untuk bantu bapa sakit

SEORANG kanak-kanak lelaki telah diikat lehernya sebelum ditarik seperti haiwan peliharaan gara-gara dituduh mencuri duit tabung masjid.

Menurut laporan, kejadian berlaku di Aceh Utara dan kanak-kanak berkenaan telah ditangkap oleh penduduk kerana dipercayai mencuri sejumlah wang dari tabung masjid.

Dia kemudiannya diikat pada tangan dan leher oleh seorang lelaki sebelum ditarik sambil disaksikan para penduduk kampung lain termasuk kanak-kanak. Walau bagaimanapun, beberapa individu telah meminta lelaki berkenaan melepaskan tali pada leher kanak-kanak tersebut.

Jurucakap polis tempatan, Ahmad Yani berkata, hasil siasatan mendapati kanak-kanak berkenaan mengambil wang bernilai 1.5 juta rupiah (RM434.35) bagi membeli makanan untuk ayahnya yang sedang sakit.

“Ayahnya sakit dan dirawat di rumah. Pelaku nak membeli makanan untuk dirinya dan ayahnya. Bakinya telah diberikan kepada bapa saudaranya yang kemudiannya menggenapkan wang tersebut dan memulangkannya kembali,” ujar Ahmad Yani.

Tambahnya, kes tersebut telah diselesaikan antara pihak keluarga dan pengurus masjid secara dalaman pada hari yang sama.

Sementara itu, lelaki yang mengikat leher kanak-kanak berkenaan juga dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis.