Tragedi Kutip Durian, Wanita Orang Asli Maut Dipijak Gajah Di Gerik

Foto : Wikimedia

GERIK – Seorang wanita Orang Asli berusia 63 tahun di kawasan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, Gerik maut akibat dipijak gajah liar di sebuah kebun durian berhampiran rumahnya di Kampung Bal.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 5.30 petang.

“Mangsa dikatakan ke kebun untuk mengutip durian sewaktu kejadian. Semasa berada di kebun tersebut, mangsa dipercayai telah terserempak dan dipijak oleh seekor gajah.

“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan RPS Kemar dan telah disahkan meninggal dunia,”katanya.

Hasil bedah siasat yang dilakukan pihak Hospital Daerah Gerik hari ini mendapati kematian mangsa disebabkan oleh ‘blunt force trauma to the chest’.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

Zulkifli turut menasihatkan masyarakat di Pos RPS Kemar supaya lebih berhati-hati dalam menjalankan aktiviti pertanian, di samping memaklumkan kepada pihak berkuasa jika terdapat maklumat kehadiran hidupan luar supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.