Wanita Maut Dibakar Suami Sendiri, Anak Cuba Padam Api Pada Badan Mangsa

Seorang wanita berusia 41 tahun maut dipercayai dibakar suaminya satu kejadian di Kampung Tinagalan, Sook, Keningau, Sabah.

Menurut Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ahli keluarga mangsa

Siasatan awal mendapati pasangan suami isteri telah minum ‘tapai’ sejak Jumaat lalu di rumah mereka.

“Pada hari yang sama kira-kira jam 10 malam, anak mereka berusia 16 tahun terlihat kedua-duanya bertengkar mulut dalam keadaan mabuk yang teruk.

“Ketika bertengkar, suspek mengatakan hendak membakar mangsa dan mangsa pula mencabar untuk membakarnya jika berani.

“Suspek kemudian ke tingkat bawah rumah untuk mengambil gelen berisi petrol dan naik semula lalu menyimbah petrol ke badan mangsa sebelum bertindak mencampakkan mancis yang menyala ke arah mangsa sehingga menyebabkan badan mangsa terbakar,” katanya dalam kenyataan pada Isnin

Rumah yang didiami mereka terbakar sepenuhnya dan terdapat tiga anak yang turut berada di dalam rumah tersebut.

“Anak mangsa bertindak membawa dua adiknya yang tidur keluar dari rumah kerana api yang bermula dari bilik kedua ibu bapanya mula merebak dalam rumah.

“Usaha memadamkan api pada badan mangsa dilakukan oleh anaknya sebelum mendapatkan bantuan daripada bapa saudaranya.

“Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Sook untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut. Namun pihak hospital mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia pada jam 1.41 tengah hari Sabtu,” katanya.

Sehubungan itu, Yampil berkata, suspek yang berusia 50 tahun ditahan dan direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan

Sumber : Sinar Harian