Wanita Lahirkan Anak di KLIA Sementara Tunggu Penerbangan

 

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada petang semalam dikejutkan dengan kejadian seorang wanita melahirkan anak sementara menunggu penerbangannya.

Berita itu dikongsikan Malaysia Airports di aplikasi X dengan memaparkan situasi cemas beberapa petugas keselamatan penerbangan (AVSEC) membantu wanita terbabit.

“Wow, ada orang bersalin lah! Baru-baru ini, KLIA Terminal 1 dikejutkan dengan berita seorang penumpang yang telah melahirkan anaknya di balai menunggu.

“Dengan kadar segera, pasukan AVSEC membantu wanita terbabit dan memanggil pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan (KKM) dan Medilife Paramedic untuk rawatan dan pemeriksaan selanjutnya,” jelas kenyataan itu.

Ibu dan bayi tersebut dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan dan pemantauan yang lebih rapi.

“Syabas kepada AVSEC, Terminal Services Department, KKM, Medilife Paramedic dan lain-lain atas tindakan pantas dan efisien,” tambahnya.

Sumber : Malaysia Airports