Tak Rancang Kebumi di London, Proses Bawa Pulang Jenazah Allahyarham Fiza Ambil Masa Seminggu

Pihak keluarga wartawan hiburan, Allahyarham Fiza Kamarudin, 40, tidak bercadang untuk mengebumikan jenazahnya di London sebaliknya akan membawa jenazah pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun, prosedur untuk membawa pulang jenazah dari London ke Malaysia dijangka mengambil masa seminggu memandangkan prosesnya membabitkan pelbagai dokumen.

Adiknya, Linda Kamarudin, 39, memberitahu BH Online pihak keluarganya berharap bantuan Kedutaan Besar Malaysia di London dapat memudahkan urusan berkenaan.

“Jenazah akan dibawa balik dan setakat ini, suaminya masih lagi menguruskan beberapa dokumen. Antaranya, nak proses sijil kematian, yang mana akan memakan masa selama beberapa hari.

“Urusan lain pun perlu tunggu pada Selasa depan memandangkan pejabat di sana masih bercuti. Jadi, kemungkinan akan mengambil masa lebih kurang seminggu untuk selesai.

“Bagaimanapun, keluarga berharap dengan bantuan Kedutaan Besar Malaysia, prosesnya menjadi lebih singkat,” katanya kepada BH Online.

Proses mengebumikan jenazah di London juga memakan belanja yang besar daripada membawa pulang jenazah ke tanah air.

“Kami ada berbincang dan kalau boleh nak bawa jenazah pulang ke Malaysia. Sebabnya, ada kenalan memaklumkan kos pengebumian di London lebih mahal daripada kos membawa pulang.

“Mengenai kos hospital dan bawa pulang jenazah, kami belum dapat makluman jumlahnya lagi. Khabarnya, Kedutaan Besar Malaysia akan membantu,” katanya.

Siti Nor Hafiza, 40, yang sebelum ini dirawat di Hospital Charing Cross, London selepas dilaporkan tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow semalam untuk pulang ke Malaysia selepas bercuti.

Allahyarham Fiza meninggalkan suami dan dua cahaya mata, Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.

Sumber : Berita Harian