Polis Sahkan Terima Laporan Dua Kes Khianat, Lempar Kepala Babi Babitkan PRN Di Kuala Pilah

Foto : Malaysiakini

SEREMBAN – Dua laporan berkaitan perbuatan khianat pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), diterima polis susulan kejadian meletakkan dan melemparkan kepala babi di Kuala Pilah semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Gani menerusi satu kenyataan memaklumkan ia melibatkan dua kejadian di mana kejadian pertama berlaku di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional (PN), di Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh kira-kira pukul 7.45 pagi.

“Laporan kedua yang diterima pula berlaku di hadapan rumah Ketua Penerangan Bahagian Kuala Pilah, yang juga pengurus kempen DUN Senaling daripada PN di Kampung Sawah Lebar Seberang,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan / 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan, kerana akan menimbulkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta dikhuatiri boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan pihak polis.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat, orang ramai boleh menyalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-4842999 atau hadir ke balai polis yang berhampiran,” kata Supt Amran.

Terdahulu, media melaporkan jentera pilihan raya parti itu dikejutkan dengan penemuan kepala babi yang diletakkan di atas bendera parti gabungan itu, di hadapan bilik gerakan dan kediaman seorang pegawai pagi tadi.