Ustaz Wadi Annuar Dipanggil JAIPs, Mengajar Tanpa Tauliah

JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) akan memanggil pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub kerana didakwa mengajar tanpa tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis pada Khamis.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pendakwah itu didakwa mengajar tanpa tauliah di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang dekat sini, perlu hadir untuk diambil keterangan di Pejabat JAIPs pada 17 April ini.

Menurutnya, penganjur program Solat Tarawih dan Sembang Santai bersama Ustaz Wadi Annuar iaitu Lajnah Dakwah dan Perkaderan Pas Kangar juga akan dipanggil memberi keterangan.

“Jabatan Mufti Negeri Perlis yang mengeluarkan tauliah manakala JAIPs melaksanakan penguatkuasaannya.

“Dalam hal ini, melalui perjumpaan dengan Exco Agama Islam negeri, pihak berkenaan (Ustaz Wadi Annuar) sudah ditawarkan, dipelawa memohon tauliah kerana kita akan nilaikan dahulu, jadi dia mohonlah dahulu tauliah itu.

“Kita hendak tengok juga siapa yang dia hendak ceramah tetapi dia enggan, malah semasa dua kali perjumpaan bersama JAIPs juga ditegaskan supaya minta tauliah terlebih dahulu.

“Tetapi beliau tetap juga enggan dengan alasan tersendiri seperti ceramah itu dilakukan di premis peribadi dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar pada Jumaat.

Beliau berkata demikian susulan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kangar oleh JAIPs selepas anggota penguat kuasanya dihalang penganjur daripada bertemu Ustaz Wadi yang mahu mengambil keterangan berhubung tindakannya memberi ceramah.

Mohd Asri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perlis berkata, sikap toleransi yang diberikan sebelum ini sudah sampai ke tahap mempersendakan peraturan yang telah digariskan di negeri ini terutama seperti yang dititahkan Raja Perlis.

“Tindakan penguat kuasa JAIPs dihalang dengan halangan besar daripada hadirin yang hadir dalam majlis itu dengan cara yang tidak terhormat meskipun terdapat anggota polis hadir mengawal kejadian berkenaan,” katanya lagi dalam laporan Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam.

Sumber gambar – New Straits Times | Sumber laporan – Sinar Harian