Jemaah Umrah Hilang 14 Hari, Ditemukan Meninggal Dunia Di Makkah

JEMAAH Malaysia, Rosli Salleh, 62, yang dilaporkan hilang di Makkah ketika mengerjakan umrah pada 10 Mac lalu, disahkan sudah meninggal dunia.

Perkara itu disahkan anaknya, Muhammad Farid Rosli menerusi hantaran di satu kumpulan Facebook, Group Umrah semalam.

Beliau memaklumkan bapanya yang sepatutnya pulang pada 23 Mac lalu sudah ditemui.

“Assalamualaikum. Update (laporan) terbaharu, kami sekeluarga sudah menjumpai ayah (Rosli) kami. Beliau sudah meninggal dunia di sana (Makkah).

“Kami mohon tolong doakan untuk kesejahteraan ayah kami di sana, mohon kebaikan untuknya di akhirat dan semoga kami semua akan disatukan di syurga kelak. Amin Insya-Allah,” katanya.

Muhammad Farid turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu sepanjang misi pencarian bapanya.

“Kami sekeluarga mohon sedekahkan Al-Fatihah untuk beliau.

“Kami juga ingin berterima kasih atas segala pertolongan dan doa yang diberikan sepanjang pencarian ini. Terima kasih. Mohon jangan tanya mengenai detail (butiran), cukup di sini saja,” katanya dalam laporan Harian Metro.

Beliau sebelum ini meminta bantuan orang ramai untuk mengesan lokasi bapanya apabila gagal dihubungi sejak 17 Mac lalu ketika mengerjakan umrah secara bersendirian tanpa ejen.

Sumber gambar – Harian Metro | Sumber laporan – Harian Metro