Mangsa nahas LRT akan terima bantuan RM1000

MANGSA kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang berlaku pada 24 Mei akan menerima bantuan RM1,000.

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, syarikat Prasarana juga akan menanggung kos rawatan dan perubatan mangsa yang terbabit.

Menurutnya, mangsa yang kehilangan kerja ekoran insiden berkenaan juga akan diberikan bantuan kewangan sewajarnya.

“Syarikat berdukacita dengan kejadian ini dan mengambil tanggungjawab penuh untuk membantu mangsa yang terbabit. Bantuan khas, kos rawatan dan pembayaran pampasan akan diberikan dalam masa terdekat kepada mangsa,” katanya dalam sidang media selepas melawat lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini perkhidmatan LRT berjalan seperti biasa namun Prasarana menyediakan bas pengantara pada waktu puncak bagi mengurangkan kesesakan di stesen berdekatan.

Katanya, setakat ini enam penumpang kritikal dengan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Seramai 15 lagi penumpang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun dilaporkan stabil”, tambahnya.

Dalam pada itu, semalam seramai 64 penumpang cedera dikejarkan ke HKL dan ada di antara mereka yang sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, Prasarana mengambil masa tiga hari untuk mengalihkan tren yang terbabit dalam kemalangan semalam.

Katanya, siasatan lanjut juga kini sedang dilakukan Kementerian Pengangkutan dan Prasarana dan dijangka lengkap dalam tempoh dua minggu.

“Prasarana memberi jaminan perkhidmatan terbaik kepada penumpang dan akan meningkatkan perkhidmatan pada masa akan hadapan,” katanya.

Sumber: Harian Metro