Tumpuan di Istana Negara, siapa calon PM baharu?

Photo by CEphoto, Uwe Aranas

ISTANA Negara hari ini sekali lagi menjadi tumpuan para pengamal media bagi mengikuti perkembangan semasa politik negara.

Difahamkan, beberapa pimpinan parti politik menuju ke Istana Negara hari ini bagi menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi mengemukakan senarai nama bagi calon Perdana Menteri Baharu.

Antara pimpinan politik yang terlibat adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (UMNO), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang).

Sejak awal pagi tadi, kawasan perkarangan Istana Negara telah mula kelihatan persiapan daripada anggota polis yang mengawal laluan.

Semalam, Baginda telah memperkenan surat peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri serta seluruh barisan Ahli Jemaah Menteri.

Setakat ini, persoalan berhubung nama baharu yang bakal menggalas jawatan Perdana Menteri masih menjadi tanda tanya.

Ini termasuk perbincangan yang hangat dilakukakan melibatkan beberapa pimpinan parti politik malah ada juga kelibat figura politik yang berkunjung ke rumah bekas Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Baginda sebelum ini menegaskan tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam situasi pandemik yang masih memuncak.