Saya wakilkan Presiden menghadap Agong – Tuan Ibrahim

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mewakili Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. di Istana Negara hari ini.

Beliau menerusi hantarannya di Facebook memaklumkan, pergerakan ke Istana Negara yang berlangsung pada 2 petang itu bagi membawa pendirian parti berhubung situasi politik negara.

“Saya mewakili Presiden PAS akan ke Istana Negara mengadap KDYMM SPB Yang Dipertuan Agong pada jam 2.00 petang, membawa amanah Presiden dan Parti bagi mencadangkan pendirian parti menghadapi kemelut politik yang berlaku kini,” katanya menerusi hantarannya di Facebook.

Tuan Ibrahim Tuan Man berkongsi hasil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Istana Negara hari ini sekali lagi menjadi tumpuan berikutan beberapa pimpinan parti politik yang dijadualkan untuk menghadap Baginda bagi mengemukakan calon Perdana Menteri.

Semalam, Al-Sultan Abdullah memperkenan peletakan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri serta seluruh barisan Ahli Jemaah Menteri berkuat kuasa serta merta.

Dalam pada itu, Baginda turut perkenan untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Sementara (Caretaker) sebelum calon Perdana Menteri Baharu dilantik semula.