Keputusan Muhyiddin disambut baik, buka ruang perubahan – Anwar

TINDAKAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan selaku Perdana Menteri disambut baik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menerusi hantarannya di Facebook berkata, keputusan itu akan membuka ruang untuk perubahan terhadap negara.

“Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan hari ini disambut baik serta akan membuka ruang kearah perubahan buat negara.

Dalam pada itu, Anwar Ibrahim turut memesan semua pihak agar bertenang agar negara kembali bangkit bagi memerangi isu kesihatan dan pemulihan ekonomi.

Beliau dalam masa sama turut menzahirkan penghargaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sepanjang khidmatnya mentadbir negara.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri serta barisan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa hari ini.

Bagaimanapun, Tan Sri Muhyiddin akan menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri ‘Caretaker’ sehingga Perdana Menteri Baharu dilantik.