Tular Lelaki Pukul Bakar Anjing Hidup-Hidup, Diburu Polis

TULAR video seekor anjing malang dipukul dan dibakar hidup-hidup oleh seorang lelaki tidak berhati perut berhampiran dengan sebuah klinik haiwan di Taman Impian Emas, Skudai, baru-baru ini.

Polis mengesahkan menerima laporan daripada orang awam pada jam 2.59 petang, Isnin lepas, memaklumkan kejadian berkenaan dan video insiden tersebut tular di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, tujuan laporan polis dibuat adalah untuk merujuk kes terbabit kepada Jabatan Veterinar Johor bagi menjalankan siasatan berhubung penyeksaan haiwan.

“Kes ini akan disiasat Jabatan Veterinar Johor mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM25,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi 8 minit 54 saat menunjukkan seorang lelaki menghidupkan api pada seekor anjing yang terhalang oleh dinding.

Video itu turut memaparkan lelaki berkenaan meninggalkan kawasan tersebut dengan memandu kenderaannya.

Sumber gambar -Kosmo Digital | Sumber laporan – Sinar Harian