Isteri Bekas Ketua Polis Negara Failkan Cerai

KRISIS rumah tangga bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kembali diperkatakan apabila isterinya memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis.

Suri rumah, Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42, mengemukakan permohonan cerai berkenaan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

Ibu kepada seorang anak lelak lelaki berusia lapan tahun itu, hadir dengan ditemani peguam syarienya, Datuk Hazizah Kassim dan Noorulhuda Daud.

Bekas ahli perniagaan itu hadir di mahkamah dengan memakai baju kurung, memfailkan permohonan berkenaan kerana shiqaq (perbalahan berpanjangan).

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada 2 Ogos 2013 lalu dan dikurniakan seorang anak.

Pada 9 Mac lalu, Musa berkata, masalah rumah tangga yang dihadapinya itu bukanlah baharu sebaliknya berlarutan hampir tiga tahun.

Malah katanya, mereka tidak lagi tinggal sebumbung bermula enam bulan lalu.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menghormati privasinya.

Sebelum ini, tiga klip video berdurasi sembilan saat, 56 saat, dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak.

Polis mengesahkan, telah membuka kertas siasatan berhubung satu kejadian membabitkan Musa dan isterinya, yang rakaman video berkenaan tular di media sosial sejak awal bulan ini.

Sumber gambar – OHBULAN! | Sumber laporan – Sinar Harian