Tujuh rumah teres dua tingkat terbakar hingga memusnahkan kenderaan mangsa kebakaran yang melibatkan empat motosikal, sebuah van dan kereta di Taman Tupai Mas, Taiping, Perak, awal pagi tadi.
Semasa kejadian berlaku, mangsa yang bernama, Ng Teong Chuan, 60, difahamkan melecur di bahagian bahu kanan ketika cuba menyelamatkan motosikalnya. Bagaimanapun, tiada nyawa yang melayang dilaporkan.
Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.55 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping dan Kamunting bergegas ke lokasi kejadian.
“Kesemua rumah itu membabitkan kemusnahan antara satu peratus hingga 80 peratus dan pihak bomba mengambil masa 15 minit untuk mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran. Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada 5.35 pagi,” katanya dipetik Bernama.
Sementara itu, seorang mangsa, Lian Wai Hung, 24, berkata dia sedang tidur di tingkat atas apabila mendengar ibu dan bapanya yang tidur di tingkat bawah, menjerit.
“Saya bangun apabila mendengar bunyi letupan dan mendapati kebakaran di kawasan parkir kereta dan motosikal, lalu berlari keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya dan menambah sebuah van, sebuah kereta dan tiga motosikal milik keluarganya musnah dalam kebakaran itu.
Bagaimanapun, menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat ketika dihubungi berkata pihaknya dan forensik bomba telah menjalankan siasatan tetapi tidak menjumpai apa-apa bahan bakar di tempat kejadian dan hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah.