‘Tolonglah tuan, saya terpaksa melacur untuk sara anak’

487

“TOLONGLAH tuan, saya terpaksa buat (melacur) untuk menyara seorang anak saya.” Itu alasan seorang wanita ketika ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti pelacuran di sebuah kondominium, Jalan Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu, petang tadi.

Bagaimanapun, alasan wanita Filipina berusia 25 tahun itu gagal untuk melepaskan diri hingga menyebabkan dia menangis teresak-esak.

Wanita itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kira-kira jam 6 petang tadi.

 

Ketika dia ditahan, wanita itu sedang melayan seorang lelaki disyaki pelanggannya di sebuah bilik di kondominium berkenaan.

Ketika disoal siasat dia mengaku menawarkan khidmat seks dengan kadar bayaran RM500 untuk sekali perkhidmatan.

Pegawai Turus D7 IPK Sabah Deputi Superintendan Alhusin Halil berkata, pihaknya turut menahan seorang lagi wanita Filipina berusia 26 tahun dan dua lelaki tempatan disyaki penjaga kepada kedua-dua wanita terbabit.

“Hasil pemeriksaan menemui kondom yang sudah dan belum digunakan serta beberapa peralatan menghisap dadah jenis syabu.

Baca juga:   Quality Pakaian Copy Hampir Sama Dengan Original

“Modus operandi suspek ini dipercayai mencari pelanggan dengan menggunakan aplikasi WeChat namun siasatan masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alhusin berkata, semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan iaitu mencari langganan bagi tujuan persundalan,” katanya.

 

Sumber – Harian Metro