lagu Sumpah nyanyian Naim Daniel mencetus fenomena

SEWAKTU lagu Sumpah nyanyian Naim Daniel mencetus fenomena, rata-ratanya mengakui karya berkenaan memiliki kualiti dan pesona luar biasa.

Tidak dinafikan, lagu itu antara yang terbaik dihasilkan beberapa tahun kebelakangan ini.

Segalanya membuahkan hasil apabila lagu ciptaan Naim bersama Omar K itu dinobatkan sebagai juara di Anugerah Juara Lagu ke 34 (AJL34) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam kelmarin.

 

Selayaknya lagu itu tidak perlu dipertikaikan lagi kemenangannya. Walaupun bersaing dengan karya lain yang cukup kuat, Sumpah mendapat sokongan padu daripada ramai selain banyak ramalan meletakkan lagu itu sebagai juara.

Bagaimanapun, paling mencuri perhatian semestinya sewaktu Naim bersujud syukur sebaik dia diumumkan menang.

Babaknya memeluk anggota keluarga dan kerendahan hatinya mendapat pujian ramai membuatkan pengiktirafan itu lebih bermakna.

Paling diingati ramai tentu sekali ucapannya yang menusuk jiwa semua sebelum mendapat perkongsian meluas.

“Buruk niat kita, buruklah yang kita dapat, baik niat kita, baiklah yang kita dapat,” itulah ungkapan Naim sewaktu menerima trofinya yang berjaya menyentuh hati peminat seluruh Malaysia.

LAGU Sumpah membawa tuah buat Naim dan Omar K.3. FOTO Aswadi Alias

 

Katanya, sebaik dia menyanyikan lagu itu, dia menangis di belakang pentas kerana seakan-akan tidak percaya sudah berada di tahap sekarang.

“Saya seakan-akan tidak percaya apabila dapat berpeluang berdiri dengan barisan juara dan alumni AJL yang sudah banyak kali bertanding. Begini rasa seronoknya apabila sesuatu karya itu diangkat sebagai juara. Ia sekali gus memberi saya semangat untuk terus berkarya dan menampilkan lebih banyak material yang berkualiti,” katanya.

Sementara itu, ketua juri Ajai berkata, kelebihan Sumpah terletak kepada melodi serta lirik yang memberi penghayatan mendalam.

 

Sumber – Harian Metro