Tiga Polis Trafik Minta RM 100 Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

 

Baru-baru ini tular video di media sosial memaparkan anggota polis trafik meminta wang RM 100 daripada pasangan pelancong dari United Kingdom (UK) bagi menyelesaikan saman kesalahan trafik.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini ditahan reman tiga hari bermula Selasa lalu (30 Januari) dan berakhir hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Bagaimanapun, Majistret Siti Nora Sharif menolak permohonan sambung reman terhadap tiga-tiga anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang berusia antara 37 hingga 42 tahun itu.

Menurut peguam yang mewakili ketiga-tiga suspek, permohonan sambung reman terhadap mereka ditolak mahkamah dengan antara alasan yang dikemukakan ketika prosiding adalah berkaitan tiada mangsa yang tampil selain beberapa lagi isu teknikal lain.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi media berkata,  ketiga-tiga suspek akan dibebaskan dengan jaminan polis namun siasatan masih diteruskan.

Sumber : Berita Harian