Pemandu Vios Merah Halang Ambulans Anda Masalah Pendengaran

Baru-baru ini tular lagi rakaman seorang pemandu Toyota Vios yang menghalang laluan ambulans. Kejadian dipercayai berlaku di Jalan Tanjung Kidurong, Bintulu, Sarawak.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Bintulu menerusi Facebook, pemandu yang berusia 74 tahun mengalami masalah pendengaran dan alat bantuan pendengarannya tidak berfungsi ketika itu.

“Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Bintulu telah mengambil tindakan mengesan pemandu kenderaan Toyota Vios tersebut.

“Pemandu Toyota Vios bewarna merah telah diambil tindakan saman di Bawah Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Lalulintas 166/59 iaitu kesalahan tidak memberi laluan kepada ambulans bersiren bergerak terus.

“Difahamkan pemandu kenderaan Toyota Vios tersebut ada mengalami masalah pendengaran dan alat pembantu pendengaran beliau tidak berfungsi dengan baik pada masa tersebut.

“Pemandu Toyota Vios warna merah merupakan seorang lelaki tempatan berumur 74 tahun pada masa kejadian,” menuruut kenyataan tersebut.

Semua pengguna jalan raya juga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya. Semua lalulintas hendaklah memberikan laluan apabila ada siren amaran daripada kenderaan Ambulans, Polis dan Bomba.

 

Sumber : PDRM Bintulu