Tiga Nelayan Turun Ke Laut Pukul 3 Pagi Semalam, Dikhuatiri Hilang Di Kemasin

Foto: Reuters

BACHOK, 21 Ogos- Tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas keluar menangkap ikan di perairan Kemasin, Bachok awal pagi semalam.

Isteri mangsa, Nik Suliana Bikri Kama berkata, suaminya, Rohaimi Ahmad, anaknya Nik Muhamad Syafiqrullah Abdul Hafiz serta kawan anaknya Muhammad Zulfikar Che Wil turun ke laut pada pukul 3.00 pagi untuk menangkap ikan.

Beliau berkata, kebiasaannya suami serta anaknya itu akan mendaratkan ikan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kemasin pada pukul 3.00 atau 4.00 petang, namun kelibat bot yang dinaiki mereka tidak tiba sehingga pukul 6 petang.

“Biasanya pukul 3 atau 4 petang mereka sudah balik dan membawa tangkapan, tetapi sehingga jam tersebut mereka tidak muncul dan usaha pencarian dilakukan bermula 6 petang semalam,” katanya ketika ditemui di jeti LKIM Kuala Kemasin, Bachok, hari ini.

Nik Suliana dan ahli keluarga yang lain cuba menghubungi suami serta anaknya namun gagal sebelum membuat laporan polis.

Beliau berharap agar suami, anak serta rakan anaknya itu dapat ditemui dan tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

Sementara itu, Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Leftenan Ishak Rahmat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan yang mengesahkan kejadian itu, berkata enam anggota agensi itu di darat dan lapan anggota di laut ditugaskan dalam operasi tersebut.