Ops Hunter Berjaya Lumpuhkan Pemburuan Haram Sejak 10 Tahun Lalu Di Ulu Muda, Sik

Foto: Utusan

ALOR SETAR, 21 Ogos- Satu sindiket pemburuan haram hidupan liar  di Hutan Simpan Ulu Muda, Sik dilumpuhkan dengan penahanan enam individu termasuk dalangnya dalam Ops Hunter pada Jumaat lalu sehingga semalam.

Pengarah PERHILITAN Kedah Jamalul Nasir Ibrahim berkata, pihaknya merampas pelbagai bahagian anggota haiwan terancam tersebut termasuk daging sejuk beku dalam operasi tersebut.

“Enam suspek berusia antara 40 hingga 63 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak 10 tahun lalu.

“Kesemua suspek dipercayai menjadikan aktiviti pemburuan haram itu sebagai sumber pendapatan utama menerusi hasil jualan buruan termasuk secara dalam talian di media sosial,”katanya.

Menurut Jamalul, serbuan dilakukan di rumah semua suspek di Sik yang menemui pelbagai bahagian anggota haiwan seperti kijang, rusa sambar, pelanduk, burung murai, tiong mas dan ruak-ruak. 

Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM103,350.

Ops Hunter dijalankan berdasarkan risikan dan pemantauan berterusan Jabatan Perhilitan di lokasi terlibat.

“Hasil buruan dibekukan sementara menunggu pembeli datang..kesemua haiwan tersebut adalah dilindungi sepenuhnya.Kita percaya, masih ada lagi baki ahli sindiket,”katanya.

Antara barang yang yang disita, satu batang besi disyaki bahagian senjata buatan sendiri, satu laras senjata buatan sendiri, satu udi senjata, satu laras senapang patah jenama Fair (premier), satu  tali pinggang peluru warna hitam beserta lapan  butir peluru dan tiga belas  kelongsong peluru dalam plastik warna kuning.

Turut disita  satu  beg pinggang  warna hijau/coklat berisi lima butir peluru dan serta satu  tali pinggang peluru warna celoreng beserta 20 butir peluru.

Kesemua senjata api dan peluru diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Kesemua suspek juga akan disiasat di bawah seksyen dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] yang boleh dikenakan hukuman di bawah Aka Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646) .

Tiga daripadanya turut disiasat di bawah seksyen Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 berikutan terdapat kemungkinan hasil pemburuan haram hidupan liar itu dipercayai dijadikan sebagai sumber pendapatan utama suspek.