Nak Tambah ‘Side Income’, Antara Alasan 8 Pelacur Termasuk Penjawat Awam Dari Negara Asing

TVS

GEORGE TOWN, 21 Ogos- Lapan pelacur warga asing termasuk seorang daripadanya penjawat awam di negara jiran, ditahan dalam siri serbuan di sekitar daerah Timur Laut,Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong dalam satu kenyataan media hari ini berkata cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Timur Laut menjalankan operasi bermula pukul 6.00 petang hingga 10.00 malam dengan tujuh serbuan dibuat di beberapa premis seperti hotel bajet, rumah tumpangan dan apartment yang disyaki menjalankan kegiatan pelacuran.

“Serbuan itu dijalankan hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, dalam pemeriksaan tersebut polis berjaya menahan lapan wanita warga asing berusia 25 hingga 47 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran.

“Hasil siasatan kami mendapati seorang daripada wanita itu mengaku dia adalah seorang penjawat awam (suami juga penjawat awam) di negaranya dan mendakwa datang ke negara ini untuk menjalankan aktiviti persundalan bagi memperoleh pendapatan tambahan,”katanya dalam kenyataan tersebut.

Pihak polis katanya sedang dalam proses mendapatkan pengesahan berkaitan maklumat tersebut dari pihak kedutaan negara yang berkenaan.

Tambah ACP Soffian, polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan bagi menjalankan kegiatan pelacuran dan turut merampas wang tunai RM2,200 dipercayai hasil kegiatan tersebut.

“Siasatan awal mendapati semua wanita itu masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan ada dalam kalangan mereka yang pas tersebut telah tamat tempoh.Berdasarkan siasatan juga mendapati mereka mencari pelanggan menggunakan aplikasi WeChat dan mengenakan bayaran seks antara RM150 hingga RM250.

“Semua lapan wanita itu direman untuk siasatan lanjut dan kes mereka disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan atas kesalahan melacur, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana pas lawatan telah tamat tempoh dan Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1959 iaitu salah guna pas lawatan sosial,”katanya.