Tiga Maut, Bas Ekspress ‘Double Decker’ Terbabas

Foto: Portal Berita RTM

KUANTAN, 20 September- Tiga lelaki maut selepas bas ekspres dua tingkat dinaiki mereka terbabas di Kilometer 81 Jalan Lipis-Merapoh, awal pagi tadi.

Mereka yang meninggal dunia ialah pemandu bas Ab Aziz Daud, 63, dan dua penumpang iaitu Shukri Mat Noor, 55, serta Hossain Kamal, 41, yang merupakan warga Bangladesh.

Kejadian turut menyebabkan enam lagi penumpang dan pemandu kedua bas itu mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata, kemalangan berlaku berhampiran Kampung Kubang Rusa, pada 1.50 pagi semasa bas yang membawa 18 penumpang itu dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur.

Jelas beliau, ketika kejadian bas tersebut sedang melalui selekoh namun hilang kawalan dan akhirnya terbabas ke bahu jalan.

Beliau berkata impak kemalangan menyebabkan bahagian kiri bas remuk.

Kesemua mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan kemalangan disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.