Anjing Pengesan Insiden Tanah Runtuh Batang Kali, ‘Blake’ Sudah Pergi

Foto: Sinar Harian

KUALA LUMPUR, 20 September- Anjing pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Blake yang membantu dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Batang Kali Disember lepas, ditidurkan selepas dikesan menghidap barah limfoma.

Dalam insiden tersebut, Blake yang mencuri tumpuan seluruh negara dilaporkan mengalami kepenatan selepas dua hari berturut-turut bertungkus lumus membantu angggota JBPM dalam misi menyelamat dan perlu direhatkan.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan memaklumkan haiwan berkenaan ditidurkan pada 4.38 petang, kelmarin.

“Kehilangan Blake sudah pastinya dirasai oleh seluruh warga JBPM dan khidmat bakti yang telah disumbangkan sepanjang enam tahun berkhidmat akan sentiasa dihargai dan dikenang. Selamat jalan Blake,” menurut kenyataan itu.

KPKT memaklumkan keputusan untuk menidurkan Blake merupakan hasil perbincangan bersama pakar veterinar, Dr Nur Alimah Rahman dan JBPM setelah mendapati tahap kesihatannya merosot secara mendadak dan sukar dipulihkan serta bagi mengelakkan anjing berkenaan menderita daripada kesakitan selain mengambil kira kebajikan haiwan itu.

“Anjing pengesan daripada disiplin Cadaver itu telah didiagnosis menghidapi barah limfoma tahap empat pada 15 Ogos lalu.

“Blake kemudiannya telah dimasukkan sekali lagi ke wad Anjing Kesayangan di Fakulti Veterinar, Universiti Putra Malaysia pada Khamis apabila didapati hilang selera makan dan kelesuan selain untuk mendapatkan perkembangan berkaitan barah dihadapi anjing berkenaan.

“Sepanjang berada di wad untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, anjing ini gagal memberi respons kepada ubat dan rawatan yang telah diberikan oleh pihak veterinar malah barah limfoma yang dikesan pada anjing itu juga semakin agresif sehingga merebak ke seluruh badan dan semakin membesar,” menurut kenyataan itu.

Blake merupakan anjing baka English Springer Spaniel yang berasal dari United Kingdom dan merupakan perolehan JBPM pada 2017.

“Blake telah banyak menyumbang kepada kejayaan operasi pencarian yang dijalankan oleh JBPM di seluruh negara antaranya mengesan mangsa lemas di Tol Batu 13, Lorong 16, Kampung Kenangan, Selangor; operasi mencari dan menyelamat kepala air di Titi Hayun dekat Yan, Kedah dan operasi mengesan mangsa tertimbus di Kampung Telemong, Karak di Pahang,” jelas kenyataan tersebut.