Tiga Anggota Tentera Maut Dalam Kemalangan di Gurun

 

Tiga anggota tentera maut dalam sebuah kemalangan membabitkan tiga buah trak tentera dengan sebuah lori di Kilometer 77.5, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini pada Jumaat.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali, kesemua mangsa yang maut berusia berusia 30 hingga 40-an.

Jelasnya lagi, pihaknya menerima panggilan menerusi MERS 999 memaklumkan terdapat kemalangan jalan raya di lokasi kejadian. Sepasukan pihak bomba tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Pemandu lori berusia 31 tahun berjaya dikeluarkan dan mengalami kecederaan di kepala serta patah di bahagian badan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dengan menaiki EMRS.

Beliau berkata, tiga lagi mangsa iaitu anggota tentera berusia antara 30-an hingga 40-an dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Komander Operasi melaporkan keadaan operasi terkawal dan anggotanya melakukan pembersihan sisa-sisa kemalangan.

“Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan kejadian dan laporan lengkap akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Sumber : Awani