Tiga Anggota Polis PGA Mengaku Tidak Bersalah Curi Wang RM85,000

Tiga anggota polis daripada Pasukan Gerakan AM didakwa di di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mencuri wang tunai berjumlah RM85,000 di sebuah premis perniagaan ketika menjalankan operasi serbuan membanteras warga asing di ‘Mini Dhaka’ di Jalan Silang di sini, Khamis lalu.

Lans Koperal Mohamad Adib Mohd Zafri, 35, Lans Koperal Mohamad Amirul Aiman Mamat, 26, dan Koperal Muhamad Hafiz Irsyad Mohd Nawi, 30, masing-masing bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Mereka dituduh mengikut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama serta dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama atas kesalahan dengan niat bersama mencuri wang milik NGWE Gabar Sdn Bhd, di tingkat satu premis berkenaan pada jam 2.27 petang, 21 Disember lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham berkata, pihaknya tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan itu dilakukan oleh penjawat awam ketika sedang menjalankan amanah dan tugas mereka sebagai anggota polis.

“Perkara ini juga mendatangkan kegusaran kepada masyarakat awam berkaitan integriti serta tanggungjawab anggota keselamatan semasa menjalankan tugas,” katanya.

Izzat Amir juga memohon agar jaminan tidak kurang RM 30,000 dengan dua penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh. Antara syarat tambahan adalah pasport mereka diserahkan kepada mahkamah hingga kes tersebut selesai dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun serta boleh dikenakan denda manakala bagi kesalahan kali kedua perlu dipenjara dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Dua peguam yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guam mereka berpendapatan RM 2,100 sebulan dan perlu menanggung keluarga.

Sebutan kes ditetapkan pada 6 Februari depan dan tertuduh dibenarkan ikat jamin RM 17, 000 dengan dua penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Sumber : Sinar Harian