Tiada ‘Roadblock’, JPJ Ganti Dron Sempena Aidilfitri Kali Ini

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan tidak akan melaksanakan sekatan jalan raya (SJR), sebaliknya memberi tumpuan terhadap penguatkuasaan menggunakan dron dan kamera Uni Peronda Bermotosikal (URB) pada Aidilfitri kali ini.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, ia bertujuan memastikan pergerakan trafik lancar susulan pertambahan kenderaan sempena cuti musim perayaan Syawal nanti.

“Kami akan menumpukan penguatkusaan yang menggunakan rakaman sama ada melalui dron atau penggunaan kamera menerusi UPB. Pegawai akan berada di lampu isyarat dengan kameranya.

“Pada masa sama kami tidak membuat SJR bagi memastikan kelancaran trafik,” katanya ketika ditemui pada Program Walkabout Keselamatan Jalanraya di Seremban Gateway, di sini, tadi.

Hanif berkata, JPJ Negeri Sembilan juga mendapat tambahan satu lagi dron baru menjadikan jumlah keseluruhan tiga dron yang akan dikendali pengawai terlatih.

“Antara kesalahan yang kami selalu kesan menggunakan kamera ini adalah langgar lampu isyarat, menggunakan lorong kecemasan dan memotong barisan. Itu antara yang popular.

“Pada Ops Tahun Baru Cina (Op TBC) 2023 yang lalu, 200 notis yang dikeluarkan pihak kami adalah kesalahan yang dikesan dengan menggunakan dron sahaja. Kami baru tambah satu lagi menjadikannya tiga dron.

“Penggunaan dron ini lebih efektif dari segi tenaga manusia, lebih capaian ke kawasan jauh serta pergerakan lalu lintas lebih lancar. Sebab itu kami memberi tumpuan terhadap penggunaan dron dan kamera UPB sahaja.

“Pengguna jalan raya jangan anggap JPJ tidak melaksanakan operasi ketika Aidilfitri nanti kerana tidak mengadakan SJR, sebaliknya perlu sentiasa berwaspada kerana kami mempunyai mata di langit,” katanya.

Hanif dalam masa sama meminta masyarakat terutama pengguna jalan raya supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung sebarang kejadian berbanding menularkannya di laman sosial.

“Tidak boleh halang jika mereka mahu viralkan, sebaiknya laporkan kepada pihak berkuasa atau saluran yang betul kerana mungkin akan menimbulkan persepsi yang tidak betul. Cerita sebenar lain, yang ditularkan lain,” katanya.

Sumber gambar – CarSifu | Sumber laporan – Harian Metro