Orang Ramai Tidak Perlu Panik, Bekalan Bahan Mentah Mencukupi Menjelang Aidilfitri – KPDN

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan bahan mentah mencukupi menjelang Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pihaknya akan memastikan bekalan bahan mentah termasuk ayam, telur dan sayur mencukupi.

“Berbelanjalah dengan gembira dan jangan melakukan pembelian panik kerana semua bekalan sama ada sayur sayuran, ayam serta telur mencukupi.

“Pihak penguatkuasaan akan memantau bekalan setiap hari bagi memastikan ianya mencukupi memandangkan permintaan tinggi menjelang Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya membuat aduan sekiranya terdapat peniaga yang menaikkan harga barangan melebihi had ditetapkan, lapor Harian Metro.

“Kita berharap orang ramai dapat menyemak senarai harga barangan yang kita umumkan supaya senang untuk mengenal pasti sama ada peniaga berkenaan mengambil peluang menaikkan harga atau sebaliknya.

“Setiap aduan daripada orang ramai, kita akan ambil maklum,” katanya.

Mengulas mengenai bazar Ramadan Rahman, Salahuddin berkata, sehingga kini sebanyak 41 lokasi yang menawarkan Bazar Ramadan Rahmah di seluruh negara.

Bagaimanapun katanya, sebanyak 1,014 gerai di bazar Ramadan yang didaftarkan menjual menu dengan harga Rahmah.

Sumber gambar – Satu Berita | Sumber laporan – Harian Metro