Tertekan putus cinta punca lelaki terjah ruang akad nikah, berzikir dan mengaji dengan kuat

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini digemparkan dengan tindakan seorang lelaki yang dipercayai mengalami tekanan jiwa akibat putus cinta selepas lelaki tersebut meluru ke ruang majlis akad nikah.

JAWI dalam cicipan di laman Twitter rasmi hari ini memaklumkan lelaki berkenaan yang tidak berkasut secara tiba-tiba duduk di pelamin sambil berzikir dan mengaji dengan kuat, lapor Awani.

“Allahu. Ini kisah benar, bukan rekaan ataupun imaginasi novel cinta.

“Seorang pemuda tidak semena-mena, tidak berkasut, memasuki ruang majlis akad nikah di JAWI pagi ini, terus duduk di pelamin, berzikir dan mengaji dengan kuat.

“Syukur, pihak keselamatan dapat tangani dengan hikmah. Difahamkan pemuda ini mengalami tekanan perasaan akibat putus cinta,” tulis Jawi

JAWI turut berkongsi sekeping gambar memaparkan dua pengawal keselamatan dipercayai sedang menenangkan lelaki berkenaan.

Dalam cicipan tersebut, JAWI turut mendoakan agar lelaki berkenaan diberikan kesembuhan dan kemudahan untuk menghadapi ujian berat dalam hidupnya itu.

Setakat ini, kemas kini tersebut mendapat twit semula lebih 3,700 pengguna media sosial.

Rata-rata warganet menzahirkan rasa simpati dan berharap lelaki berkenaan tabah.

Sumber: Awani