Lain macam, beli kentang goreng dapat ‘free’ cermin mata!

SEBUAH syarikat pengeluar makanan di Sepanyol membuat permohonan maaf kepada seorang wanita selepas dia menemui sepasang cermin mata dalam bungkusan kentang goreng yang dibelinya.

Wanita yang dikenali sebagai Paula Payan dari Cadiz, selatan Sepanyol itu berkongsi foto cermin mata tersebut yang ditemui dalam bungkusan kentang goreng oleh syarikat Cortijo del Oliver, yang berpangkalan di Arco de la Frontera di laman Twitternya, lapor Awani.

Cermin mata dengan bingkai hitam itu jelas kelihatan menerusi bahagian tingkap bungkusan berkenaan, lapor portal berita Newsweek.

Perkongsian Paula di laman Twitter.

Dalam ciapan di akaun Twitter miliknya, Payan berkata dia telah menemui sepasang cermin mata dalam bungkusan kentang goreng disertai beberapa keping foto bagi membuktikan ia tidak palsu.

Jelasnya, dia telah pergi membeli belah di sebuah pasar raya bersama ibunya sebelum membeli kentang goreng tersebut namun tidak menyedari cermin mata berkenaan.

Syarikat Cortijo del Olivar membalas ciapan Payan dan meminta maaf atas kejadian itu.

Sumber: Awani