Zahid Hamidi nafi rakaman audio perbualan bersama Anwar Ibrahim

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid membuat penafian berhubung isu tular rakaman audio melibatkan perbualan pihaknya Bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas Ahmad Zahid, tindakan itu merupakan percaturan politik yang jijik dan kotor.

Beliau dalam masa sama terkejut dan kecewa berhubung dakwaan tersebut yang boleh memusnahkan UMNO.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid telah mengarahkan pegawainya untuk membuat laporan polis agar siasatan dilakukan bagi mengenal pasti dalang individu atau pihak yang bertanggungjawab terhadap audio berkenaan.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai adanya perbualan sebagaimana dalam audio rakaman tersebut, malah ingin tegaskan tiada sebarang perbualan saya dengan Datuk Seri Anwar selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020).

“Ini merupakan satu percaturan politik yang jahat dan jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO.

“Saya percaya lebih banyak permainan keji seperti ini akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan, beliau sebagai Presiden UMNO tidak akan mencabuli atau membelakangi ketetapan diputuskan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan PAU 2020.

Pada Rabu, satu rakaman audio berdurasi 4 minit 17 saat antara dua individu yang didakwa mirip suara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tular di media sosial.