Tengku Permaisuri Selangor Dukacita Kaedah Urus Anjing Terbiar

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin hari ini menzahirkan rasa duka cita berhubung perkembangan terbaru mengenai operasi penangkapan anjing berkeliaran di Selangor.

Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, baginda amat tidak bersetuju dengan pendekatan tangkap dan lupus dilakukan oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk yang tular membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Saya percaya banyak lagi kaedah lain yang boleh diguna pakai untuk membendung masalah ini termasuk pemandulan (neuter).

“Sebagai Penaung Diraja bagi kempen Stray Free Selangor (SFS) kendalian Persatuan Pencegahan Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA), saya mahu PBT memperinci semula pendekatan baharu yang lebih holistik dalam menguruskan anjing-anjing terbiar ini,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, baginda sebelum ini pernah mencadangkan agar usaha-usaha memelihara kebajikan dan mengurangkan bilangan haiwan terbiar itu dipergiat antaranya menerusi kempen Create Caring and Compassionate Communities (CCC).

Titah baginda kempen CCC, antaranya menggariskan beberapa inisiatif utama membabitkan kerjasama antara PBT dan SPCA dalam mengendalikan sesi Tanggungjawab Pemilikan Haiwan (RPO) bersama penduduk.

Tengku Permaisuri Selangor turut mencadangkan agar PBT mewujudkan rumah perlindungan haiwan terbiar bagi setiap taman perumahan dengan kerjasama penduduk yang sayangkan haiwan selain program pemandulan haiwan lebih meluas.

Baginda bertitah, PBT juga wajar mewajibkan pemaju perumahan untuk membina atau menyediakan pusat perlindungan seumpamanya.

“Ketika ini, SPCA Selangor bersama Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) Universiti Putra Malaysia; Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) dan Persatuan Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA) giat mengadakan program pemandulan kucing dan anjing iaitu ‘Potong-Royong’.

“Sejak dimulakan pada Mac 2023, sejumlah 1,626 ekor haiwan telah dimandulkan menerusi program ini, sebagai usaha mengurangkan populasi haiwan terbiar,” titah baginda.

Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, sudah tiba masa untuk pihak berwajib meneliti semula Pekeliling Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bilangan 5 Tahun 2014 mengenai Tatacara Operasi Piawaian (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan agar lebih relevan dengan situasi semasa.

“Saya benar-benar berharap usaha-usaha untuk menjaga kebajikan haiwan-haiwan terbiar ini akan berterusan dan tidak sekadar melepas batuk di tangga sahaja,” titah baginda.

Sebelum ini tular ciapan di aplikasi X berhubung pelaksanaan pasukan petugas dan penangkapan anjing berkeliaran oleh MBSA. – BERNAMA