Siasatan berhubung dakwaan seorang guru yang terlibat dengan kes pedofilia di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat dijangka selesai dalam masa sebulan.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menerusi sidang media yang diadakan hari ini, pihak polis akan memanggil semua saksi bagi membantu siasatan.
“Saksi yang akan dipanggil selepas ini mungkin berada di luar Kelantan memandangkan bekas pelajar, namun kita akan pastikan siasatan dapat disiapkan secepat mungkin kerana ia membabitkan kerjaya guru berkenaan.
“Setakat ini, empat saksi termasuk guru lelaki yang didakwa melakukan perbuatan itu sudah dipanggil bagi direkodkan keterangan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau juga meminta agar semua pihak tidak membuat spekulasi sendiri berhubung perkara ini.
“Siasatan setakat ini masih di peringkat awal dan saya meminta semua pihak jangan buat tohmahan kerana kes ini belum dipastikan sama ada dakwaan itu betul atau tidak.
“Kes ini perlu dibuktikan dengan jelas, teks dihantar kepada siapa dan sebagainya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membuat siasatan secara menyeluruh berhubung dakwaan seorang guru terbabit dengan kes pedofilia terhadap murid di salah sebuah sekolah berasrama penuh yang dikelolakan oleh institusi itu.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pasukan dari Ibu Pejabat Mara akan ke sekolah berkenaan bagi menyiasat kesahihan dakwaan berkenaan.
Katanya, guru berkenaan sudah digantung tugas sehingga siasatan selesai.
Sumber : Harian Metro