Tauke rumah urut ada kod rahsia tawar khidmat seks sepanjang PKP

BERANI mati dan sanggup berdepan risiko! Itu tindakan kebanyakan pemilik pusat urut dan pelacuran di ibu kota yang dikesan masih meneruskan kegiatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lapor Harian Metro.

Bermodalkan kaedah ‘jualan’ melalui pelbagai aplikasi media sosial selain wujudnya pelanggan setia, mereka dikesan terus menawarkan wanita warga asing sebagai pemuas nafsu.

Pegawai Perhubungan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Hassan Azhari Abu Bakar, berkata, kebanyakan premis menawarkan khidmat urut dan seks ini dikesan menggunakan taktik penyamaran untuk mengaburi kegiatan.

“Biasanya pintu hadapan premis kelihatan tertutup rapat dan seolah-olah tidak beroperasi. Namun mereka masih menjalankan kegiatan di bahagian dalam.

“Mereka mungkin menggunakan kata laluan khas, kod rahsia atau regular customer (pelanggan tetap) yang dibolehkan melepasi pintu utama atau belakang premis,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, tindakan itu dibongkar hasil risikan pihak DBKL yang aktif melakukan serbuan rumah urut menawarkan aktiviti pelacuran sepanjang PKP ini.

“Terbaru DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan (JPK) melaksanakan operasi tindakan khas ke atas premis rumah urut di Wisma Setapak, Jalan Genting Klang di ibu kota.

“Risikan dilakukan sejak 3 hari lalu sebelum serbuan dilakukan DBKL kelmarin. Lima wanita tukang urut Vietnam ditahan untuk proses dokumentasi,” katanya.

Susulan serbuan itu DBKL mengarahkan premis ditutup mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 selain perkakas dalam premis disita.

Menurutnya, pihaknya menyerbu dua rumah urut di dua lokasi berasingan di Taman Sungai Besi dan Jalan Raden Bagus di sini, malam kelmarin.

“Siasatan dan risikan awal DBKL mendapati berlakunya aktiviti tidak bermoral di lokasi berkenaan.

“Hasil serbuan dijalankan terhadap dua lokasi itu mendapati kedua-dua premis berkenaan tiada lesen perniagaan rumah urut.

“Sehubungan itu tindakan penguatkuasaan mengeluarkan notis kompaun mengikut Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan penutupan serta- merta mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dilakukan,” katanya.

Menurutnya, pelbagai peralatan termasuk kamera litar tertutup (CCTV) dan barangan berkaitan kegiatan seks dirampas.

“Hasil semakan mendapati seramai 13 wanita tukang urut disyaki pekerja seks warganegara Thailand, Vietnam dan Indonesia bekerja di premis itu.

“Dua warga tempatan berperanan sebagai penjaga premis turut diambil keterangan untuk proses dokumentasi,” katanya.

Harian Metro pada 30 Januari lalu mendedahkan kewujudan banyak pusat maksiat yang beroperasi ketika PKP tanpa menghiraukan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Kegiatan maksiat itu dibimbangi menyebabkan penularan virus Covid-19 terutama membabitkan golongan pekerja warga asing.

Sumber: Harian Metro