Melayang RM1k sebab dikompaun celebrate birthday member masa PKP, member pulak dah balik rumah

POLIS mengeluarkan kompaun kepada 17 individu kerana mengadakan sambutan hari lahir semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sebuah vila di Ulu Melaka, Langkawi, Kedah awal pagi tadi, lapor portal Siakap Keli.

Memetik laporan asal Bernama, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, anggotanya yang membuat rondaan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) PKP dipatuhi, telah mengesan kehadiran sejumlah kenderaan yang banyak serta bunyi bising dari vila tersebut, pada jam 1 pagi.

“Semasa pemeriksaan, terdapat 13 lelaki dan empat wanita warga tempatan berumur lingkungan 18 hingga 32 tahun, di dalam vila tersebut.

“Kumpulan tersebut yang tinggal di sekitar pulau ini telah menyewa vila tersebut, untuk mengadakan majlis sambutan hari lahir seorang rakan mereka. Bagaimanapun ketika pemeriksaan, rakan yang diraikan itu tidak berada di lokasi tersebut kerana pulang sebentar ke rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Shariman berkata, semua yang ditahan telah dibawa ke Balai Polis Kuah untuk proses dokumentasi dan masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang, sebelum dibebaskan.

“Saringan air kencing ke atas mereka juga didapati negatif,” katanya.

VIDEO sekumpulan remaja termasuk pelajar sekolah yang asyik menari ketika meraikan sambutan hari jadi sebelum ditahan untuk membantu siasatan di Butterworth, Pulau Pinang awal pagi tadi.

Dalam pada itu di Butterworth, Pulau Pinang, hasrat sekumpulan remaja untuk menyambut sambutan ulang tahun mengundang padah apabila 16 individu ditahan termasuk pelajar sekolah selepas melakukan aktiviti itu sewaktu pelaksanaan PKP2.0.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat Op Covid-19, sekitar jam 1. 30 pagi Isnin.

Serbuan dijalankan berikutan aduan yang diterima pihak jiran akibat bunyi bising yang melampau.

Difahamkan kesemua mereka telah menyewa sebauh inap desa (homestay) dengan kadar RM180 bagi tujuan sambutan tersebut.

“Mereka yang ditahan berusia lingkungan 15 hingga 22 tahun terdiri daripada 7 wanita dan tiga individu bawah umur 17 tahun.

“Mereka dikatakan leka menari dan berpesta di rumah yang dijadikan inap desa (homestay),” katanya hari ini.

Selain itu, hasil ujian air kencing mendapati 15 daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan telah ditahan reman bagi tujuan siasatan. – TheNewsMalaysia

Sumber: Siakap Keli