Tak pasang lagu Tamil, pekerja Bangladesh makan pelempang

HANYA kerana tidak memutarkan lagu Tamil, seorang pekerja restoran warga Bangladesh ditampar seorang pelanggan lelaki dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan SS 15/5 pada 13 Mac lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, pihaknya telah menerima laporan pada 15 Mac lalu.

“Pada kejadian jam 10.30 malam, Ahad lalu, seorang lelaki bersama rakannya memesan minuman keras ketika berada di restoran berkenaan.

“Semasa minum, suspek minta mangsa memasang lagu Tamil namun suspek dimaklumkan, ia tidak boleh dilakukan kerana pemasangan lagu sudah ditetapkan serta tidak boleh diubah.

“Suspek kemudian memarahi dan memaki hamun mangsa sebelum menampar pipi kiri mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejurus selepas kejadian tersebut, rakan suspek telah membuat bayaran sebelum beredar bersama suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.