Kementerian Kewangan nafi surat tular peletakan jawatan Tengku Zafrul

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) pada Jumaat menafikan surat peletakan jawatan Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz seperti yang tular di media sosial.

MOF menerusi hantaran di Twitter menyatakan, Tengku Zafrul masih komited dalam menjalankan tugas terutamanya usaha ke arah pemulihan ekonomi akibat COVID-19.

Surat tersebut tular sehari selepas laporan dan penafian Tengku Zafrul berhubung peletakan jawatan beliau pada Khamis.

Baru-baru ini, isu peletakan jawatan Tengku Zafrul menjadi perbualan hangat di Dewan Rakyat selepas beliau dikatakan tidak hadir membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2021 (2022).

Tegas Tengku Zafrul, perkara itu sememangnya sudah dibincangkan di pihak kementerian yang membenarkan Timbalan Menteri Kewangan untuk melaksanakan perkara itu.

Bahkan, pada tahun lepas, katanya, Timbalan Menteri Kewangan yang membentangkan RUU Perbekalan Tambahan di Dewan Rakyat.