Pelajar kolej mengaku tak bersalah jadi punca kematian pekerja DBKL akibat mabuk ketika memandu

SEORANG penuntut kolej swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja subkontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabtu lalu.

Tertuduh, Lo Yen Hue, 24 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.

Mengikut pertuduhan, Yen Hue yang memandu kenderaan jenis Toyota Sienta dikatakan memandu di bawah pengaruh alkohol yang melebihi had ditetapkan. 

Tertuduh dikatakan gagal mengawal kenderaannya sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja subkontraktor DBKL, Yap Kwee Chee, 74 tahun. 

Kejadian tersebut berlaku di laluan Jalan Kuching menghala ke Batu Caves pada jam 3.15 pagi pada 12 Mac lalu. 

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 44 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020).

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000. 

Selain itu, tertuduh juga boleh hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang 10 tahun jika sabit kesalahan. 

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf mencadangkan agar tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bersama seorang penjamin. 

Peguam yang mewakili tertuduh, KA Ramu bagaimanapun memohon agar jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama yang baik sepanjang prosiding berlangsung. 

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan tarikh 27 Mei depan untuk sebutan semula kes. 

Tragedi yang berlaku pada Sabtu lalu, pekerja subkontraktor DBKL tersebut sedang memotong pokok di pembahagi jalan sebelum maut dilanggar pemandu mabuk berkenaan.