Tabung Haji Untung RM2.65 Bilion, Bakal Beri Manfaat Kepada Pendeposit

LEMBAGA Tabung Haji (Tabung Haji) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus, membabitkan nilai RM2.65 bilion bagi tahun kewangan 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, agihan itu akan memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendeposit Tabung Haji.

Katanya, agihan keuntungan itu adalah kompetitif, mengambil kira faktor kadarnya lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.34 peratus dan zakat sudah dilunaskan bagi pihak pendeposit, lapor Harian Metro.

“Agihan keuntungan 2022 adalah selepas TH melunaskan zakat sebanyak RM97 juta kepada semua majlis agama Islam negeri bagi pihak pendeposit, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM1.27 bilion sehingga kini.

“Jumlah agihan sebanyak RM2.65 bilion bagi tahun kewangan 2022 lebih tinggi 7.0 peratus berbanding 2021 iaitu RM2.46 bilion, walaupun kadar dividen kekal sama (3.1 peratus).

“TH sudah mengambil pendekatan pelaburan yang lebih berhati-hati berlandaskan alokasi aset strategik untuk menghadapi persekitaran yang tidak menentu.

“Alhamdulillah, usaha ini membantu dalam penjanaan hasil bagi memastikan kadar agihan berpatutan bagi tahun kewangan 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Agihan Keuntungan Tabung Haji 2022, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula 12 tengah hari, Sabtu, 29 April 2023 menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

Urus niaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula 8 malam ini sehingga 12 tengah hari Sabtu bagi melancarkan urusan pengkreditan agihan keuntungan.

Sumber gambar – New Straits Times | Sumber laporan – Harian Metro