Suspek tular lari daripada polis dikenal pasti

SEORANG lelaki meloloskan diri selepas berlari lebih 500 meter di jalan raya, ketika mengelak daripada ditahan polis dalam kejadian dekat Kampung Gaung, semalam.

Individu berusia 20-an itu meloloskan diri dengan memasuki semak terletak bersebelahan tempat kejadian.

Kejadian turut mendapat perhatian ramai apabila tular satu rakaman video kejadian terbabit menerusi media sosial sejak semalam yang memaparkan lelaki berkenaan sedang berlari sambil dikejar anggota polis trafik, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata lelaki berkenaan meloloskan diri dalam semak dan gerakan mengesannya sedang dijalankan kerana identitinya sudah dikenal pasti.

Katanya, sebelum kejadian itu, anggota polis trafik membuat penugasan pemeriksaan mengejut di lokasi sebelum menahan sebuah kereta Proton Persona dipandu seorang lelaki bersama dua penumpang.

“Ketika ditahan, pada mulanya ketiga-tiga suspek berusia 21 hingga 37 tahun itu memberi kerjasama, tetapi selepas diarahkan ke bahu jalan, kenderaan terbabit terus memecut laju, manakala seorang lagi suspek melarikan diri ke dalam semak berhampiran.

“Bagaimanapun, seorang suspek berusia 37 tahun berjaya ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, dua lelaki iaitu pemandu, Mohamad Afiq Saiedi, 21, dan suspek yang berlari sambil dikejar anggota polis itu dikenali sebagai Mohd Naim Azmi beralamat Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah melarikan diri.

Mohd Nasaruddin berkata, saringan awal kencing terhadap suspek yang ditahan mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis Methaphetamine dan mempunyai empat rekod kesalahan lampau termasuk berkaitan dadah.

“Suspek yang melarikan diri sudah dikenal pasti dan polis akan membuat tangkapan ke atas lelaki itu dengan kadar segera untuk siasatan mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis,” katanya.

Sumber: Berita Harian