KK Mart Kuching Pula Dibaling ‘Molotov Cocktail’

Selepas kejadian di kedai serbaneka KK Mart yang baharu beroperasi dua minggu di Kuantan, Pahang diserang dengan ‘molotov cocktail’, terbaharu kejadian yang serupa terjadi di KK Mart cawangan Kuching, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah berkata, insiden berlaku pada Ahad dan polis menerima laporan daripada pekerja kedai terbabit.

“Kejadian kebakaran kotak mengandungi air minuman di kaki lima hadapan kedai serbaneka tersebut akibat dibaling menggunakan botol kaca berisi minyak tanah dan kain berwarna kuning (molotov cocktail),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ashmon, kini pihak polis sedang giat mengesan suspek dan memohon agar orang awam yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

“Boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Ceremona Anak Nasim di talian 013-8554168 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

“Orang ramai juga diingatkan tidak melakukan perbuatan diluar batas undang2 dalam hal ini, dan memberikan ruang proses perundangan yang sedia ada,” tambah beliau.

Sumber : Awani