Wong Tat Meng Dakwa Dibuli, BAM Wajibkan Pakai Pakaian Penaja Jika Mahu Berlatih Di ABM

Foto: VOCKET FC

KUALA LUMPUR, 17 Ogos- Jurulatih baharu Lee Zii Jia, Wong Tat Meng mendakwa seperti dibuli selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mewajibkan pemain profesional untuk tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu jika mahu menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.

Menerusi satu hantaran di laman Instagram malam tadi, Tat Meng berkata dia sangat terkejut dengan peraturan berkenaan apatah lagi ia dikuatkuasakan ketika mereka dalam persiapan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark yang akan berlangsung dari 21 hingga 27 Ogos ini.

“Sebelum Kejohanan Dunia, BAM memaklumkan pada kami bahawa mereka mewajibkan pemain profesional tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja BAM jika mereka ingin menjalankan latihan bersama pada hari Rabu.

“Saya benar-benar terkejut dengan peraturan ini memandangkan ianya dikuatkuasa ketika persiapan menjelang Kejohanan Dunia.

“Sejak Disember tahun lalu, BAM telah menjemput Lee Zii Jia untuk berlatih bersama pemain naungan BAM setiap hari Rabu dan kami berbesar hati kerana dapat mencapai situasi menang-menang termasuk membantu pemain BAM meningkatkan tahap mereka.

“Konflik penajaan bukan sahaja pertimbangan BAM, begitu juga untuk pasukan kami yang bukan sahaja membabitkan Zii Jia, tetapi barisan jurulatih serta pakar kecergasan dan fisio kami, oleh kerana itu kami tidak dapat memenuhi jemputan latihan ke ABM sebelum terbang ke Denmark.

“Apabila BAM menegaskan perkara ini ketika membuat persiapan untuk pertandingan besar saya secara peribadi berasa seperti dibuli oleh orang besar.

“BAM sering berkata tidak kira pemain kebangsaan mahupun pemain profesional, mereka semua adalah pemain Malaysia, dan kegemilangan dikongsi bersama. Tetapi peraturan ini tidak melambangkan rasa bersama itu,” kata Tat Meng.

Untuk rekod, BAM ketika ini ditaja oleh syarikat peralatan sukan terkemuka, Yonex manakala Zii Jia menandatangani kontrak penajaan bersama Victor selepas dia meninggalkan badan induk itu untuk bergerak secara profesional pada awal tahun lalu.

Tat Meng yang baru sebulan memulakan tugasnya selaku jurulatih Zii Jia pada bulan lalu, menjelaskan kenyataan yang dibuat itu adalah bagi mengelakkan sebarang pandangan daripada pelbagai pihak bahawa mereka tidak mahu bekerjasama dengan BAM.

“Harap perkara ini dapat dibincangkan pada masa akan datang memandangkan ia adalah merugikan jika kerjasama antara BAM dan pemain profesional tidak dapat diteruskan. Pada penghujung harinya sebarang kebaikan dan kejayaan adalah demi Malaysia,” katanya.