Polis Sahkan 10 Maut Nahas Pesawat Ringan Di Bandar Elmina

Foto : Kosmo

SHAH ALAM – Sekurang-kurangnya 10 mangsa terlibat dalam insiden sebuah pesawat ringan terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan kawasan perumahan Seksyen U16, Bandar Elmina.

Salah seorang mangsa insiden pesawat dipercayai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pahang.

Menurut Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan, pesawat tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum 2 minit lagi melakukan pendaratan.

Jelasnya kesemua mangsa akan dihantar ke Hospital Klang untuk proses pengecaman.

“Ketika terhempas, pesawat berkenaan dilaporkan merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal masing-masing seorang individu dalam setiap kenderaan,”

“Setakat ini kami percaya semua mangsa yang terlibat telah meninggal dunia, lapan dalam pesawat dan dua di darat. Pihak bomba memadamkan kebakaran mengambil masa dalam 10 minit dan sekarang kita proses untuk mengumpul semua anggota-anggota mangsa yang ada dan akan di hantar ke hospital untuk proses bedah siasat dan pengecaman,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melakukan tinjauan di lokasi kejadian.

Mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, untuk bedah siasat.

Pesawat malang berkenaan dipercayai jenis Premier 1 Beechcraft dengan nombor pendaftaran N28JV dengan kapasiti 8 orang penumpang.

Dalam kejadian sekitar jam 2.40 petang tadi, pesawat yang membawa enam penumpang bersama dua juruterbang dan pembantunya dilaporkan gagal dikawal sebelum terhempas di Elmina.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV itu, dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd.

“Pesawat berkenaan telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 2:08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang,” katanya dalam satu kenyataan.

Norazman berkata hubungan pertama oleh pesawat berkenaan dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang, ialah pada pukul 2:47 petang dan kebenaran mendarat telah diberikan pada pukul 2:48 petang.

“Pada pukul 2:51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang telah melihat asap dari lokasi nahas, namun tiada panggilan kecemasan dibuat oleh pesawat tersebut,” katanya dan menambah Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC), telah diaktifkan bagi melaksanakan misi mencari dan menyelamat.

Norazman berkata siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016.