Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 : Malaysia Balas Dendam Ke Atas Korea Selatan

Foto : Kosmo

KUALA LUMPUR – Skuad hoki negara menutup saingan peringkat kumpulan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Korea Selatan di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai, India sebentar tadi.

Penyerang, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal muncul wira Speedy Tigers apabila meledak gol tunggal perlawanan selepas memanfaatkan hantaran daripada Ashran Hamsani pada minit ke-22.

Biarpun menang hanya dengan satu gol tetapi ia sekurang-kurangnya berjaya menebus kekalahan skuad negara di tangan lawan ranking kesembilan dunia itu dalam dua pertemuan terdahulu.

Skuad negara, No.10 dunia, tewas 0-1 dan 0-4 kepada Korea Selatan sewaktu pada saingan Piala Negara-Negara FIH di Afrika Selatan tahun lalu.

Kemenangan itu melonjakkan anak-anak buah A. Arul Selvaraj ke tangga teratas carta liga sepusingan, namun kedudukan tersebut mungkin berubah sekiranya India menewaskan Pakistan dalam satu lagi aksi yang sedang berlangsung.

Skuad negara akan bertemu sama ada Pakistan atau Korea Selatan dalam aksi separuh akhir pada Jumaat ini. 

Sumber : Kosmo