Isteri Jutawan Dubai Suka Tayang Duit, Nasihat Wanita Tidak Bercinta Dengan Lelaki Miskin

Foto : TikTok sofiakralow

DUBAI, Emiriyah Arab Bersatu – Seorang wanita mengundang kecaman pengguna media sosial selepas sering memuat naik kenyataan yang menegah wanita lain daripada menjalin hubungan dengan lelaki tidak berduit, lapor akhbar The Sun semalam.

Sofia Kralow menjelaskan dia tidak mempedulikan kata-kata netizen mengenai kekayaan yang dikecapinya selepas berkahwin dengan jutawan dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Kralow sering berkongsikan kehidupan mewahnya termasuk menaiki helikopter bersama suaminya selain diberikan hadiah barangan kemas dan jam tangan mewah.

Wanita itu juga gemar menunjukkan kereta mewah, beg berjenama mewah, timbunan wang tunai dan mendakwa dia diberi layanan seperti seorang puteri.

Dalam klip video di aplikasi TikTok, dia berkata: “Peringatan harian agar anda jangan sesekali keluar berjanji temu dengan lelaki yang tidak berduit.”

Hantaran Kralow sering menerima kecaman daripada pengguna media sosial dengan salah seorang daripadanya menulis: “Jadi, kita akan kembali kepada 100 tahun lalu untuk bergantung kepada gaji lelaki? Mesej yang hebat.”

“Jika saya mencintainya, saya tidak peduli sama ada dia kaya atau bankrap,” kata pengguna lain. – Agensi