Skuad B-23 Malaysia Terpaksa Berpuas Hati Di Tempat Keempat

Foto : Kosmo

KUALA LUMPUR – Hasrat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara untuk memastikan kedudukan podium di Kejuaraan AFF B-23 2023 berakhir dengan kegagalan selepas tewas 4-3 kepada Thailand pada penentuan penalti di Stadium Rayong.

Selepas terikat tanpa jaringan dalam 90 minit, dua pemain negara, Syahir Bashah dan Muhammad Abu Khalil menjadi individu paling kecewa selepas gagal menyempurnakan sepakan.

Terdahulu, walaupun aksi dilihat agak seimbang sepanjang setengah jam pertama, kualiti permainan sedikit berpihak kepada tuan rumah dan minit ke-32, kecemerlangan penjaga gol negara, Muhammad Azim Al Amin berjaya menafikan percubaan jarak dekat Phanthamit Praphanth.

Seterusnya, permainan negara bertambah baik dengan memperoleh beberapa peluang terbaik khususnya menerusi Fergus Tierney namun tampanan dilakukannya pada minit ke-44 menuju tepat ke arah penjaga gol lawan, Thirawooth Sraunson.

Bersambung babak kedua, Muhammad Azim terus cemerlang dan minit ke-57, penjaga gol Kuala Lumpur City itu menafikan percubaan Chukid Wanpraphao.

Selang empat minit selepas itu, penyerang negara, Alif Ikmalrizal Anuar turut kecewa apabila rembatannya berjaya disekat Sraunson sekaligus memaksa pemenang ditentukan pada sepakan penalti.

Tierney, Aliff Izwan dan Ruventhiran tenang menyempurnakan sepakan namun hasrat Malaysia menamatkan saingan di tempat ketiga tidak kesampaian apabila tendangan Syahir dan Muhammad Abu dihalang oleh Sraunson.

Sumber : Kosmo