Sane semakin pulih daripada kecederaan lutut

Pemain sayap Manchester City, Leroy Sane, semakin hampir untuk kembali daripada kecederaan lutut kanannya.

Pemain antarabangsa Jerman itu menjalani pembedahan Ogos tahun lalu sejak ditimpa kecederaan ketika bertemu Liverpool dalam perebutan trofi Perisai Komuniti di Wembley.

City dan Sane memaparkan satu rakaman pendek di akaun Twitter mereka semalam yang memperlihatkan Sane melakukan gelecekan dan mengambil bahagian dalam sesi pecut dan latihan di pangkalan akademi kelab itu.

Sane menerangkan gambar itu dengan menulis: “Langkah kecil dalam meniti kemunculan semula… #patience”

Sebelum ditimpa kecederaan jangka panjang itu, pemain berusia 24 tahun berkenaan sempat dikaitkan dengan perpindahan ke Bayern Munich.

Bagaimanapun, pasukan gergasi Bundesliga itu  telah menolak untuk memancingnya bulan ini sambil pemain itu dijangka akan kembali beraksi secara kompetitif pada bulan depan atau Mac. 

Sane dijulang sebagai Pemain Muda Terbaik oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional pada 2017-18 selain telah memenangi lima gelaran utama di samping City, termasuk gelaran Liga Perdana.

Sejak memeterai kontrak daripada Schalke pada 2016, dia telah merekodkan 39 gol dalam semua pertandingan buat pasukan asuhan Pep Guardiola itu.

 

Sumber – Stadium Astro