Sah! Benjamin Mora tidak lagi bersama JDT, pulang ke Mexico ‘for good’

berita-semasa
FOTO: JOHOR Southern Tigers

DESAS-desus tentang kedudukan ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, akhirnya terjawab apabila dia dikatakan pulang ke negara asalnya, Mexico selamanya bagi menyelesaikan urusan peribadi.

Bagaimanapun melalui perkongsian di laman Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers sebentar tadi, pintu sentiasa terbuka buat Mora untuk kembali pada masa akan datang.

Benjamin telah meminta untuk membenarkan beliau pulang ke Mexico bagi menyelesaikan urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan dan JDT telah menghormati permintaan tersebut dan akan membiarkan pintu sentiasa terbuka untuk beliau kembali pada masa akan datang.

“Benjamin merupakan jurulatih JDT yang paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan membawa JDT ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC tahun ini.

Untuk rekod, Mora telah mengendalikan 148 perlawanan sepanjang dua kali tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017, dan memenangi 102 perlawanan.

Memetik laporan Harian Metro, pemergian Mora didakwa berlaku susulan beberapa masalah peribadi yang berlaku di sebalik tabir sejurus tamatnya perlawanan Liga Super menentang Sabah FC pada 15 Julai lalu.

Malah, ketiadaan Mora dalam dua aksi sebelum ini termasuk ketika menang ke atas Penang FC dan Melaka United dalam aksi suku akhir Piala FA, seolah-olah mengesahkan kedudukan jurulatih berasal dari Mexico itu.

Terdapat juga dakwaan bahawa pengganti Mora sudah berada di Johor Bharu dan bakal diumumkan pada bila-bila masa oleh juara lapan kali berturut-turut Liga Super itu.