Ronaldo Membantu Juventus Melonjak Di Tangga Pertama Serie A

MILAN: Cristiano Ronaldo melebarkan rekod jaringannya kepada enam perlawanan liga berturut-turut ketika membantu Juventus merampas kembali tangga teratas Serie A dengan kemenangan 2-1 di Roma, yang kekalahan mereka turut diiringi kecederaan Nicolo Zaniolo.

Juventus memintas Inter Milan dengan kelebihan dua mata selepas pesaingnya itu terikat 1-1 menentang Atalanta di San Siro Sabtu lalu.

Pelawat membuka jaringan pada minit ketiga menerusi Merih Demiral sebelum Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua tujuh minit kemudian – gol kesembilannya dalam enam perlawanan liga.

PEMAIN Juventus, Cristiano Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti dalam perlawanan menentang Roma pada aksi Serie A di Stadium Olympic. – Foto AFP

Kedua-dua pasukan kehilangan pemain mereka dengan Juve menyaksikan Demiral dikeluarkan akibat kecederaan lutut tidak lama selepas menjaringkan gol, dan digantikan dengan Matthijs de Ligt.

Zaniolo, 20, terpaksa diusung keluar lapan minit sebelum rehat, juga kerana kecederaan lutut ketika dia cuba melepasi De Ligt dan Adrien Rabiot.

Diego Perotti menjaringkan gol tuan rumah menerusi sepakan penalti minit ke-68 selepas bola terkena tangan Alex Sandro. 

Sumber – AFP