Ronaldo bakal tinggalkan Manchester United?

KELAB gergasi Manchester United didakwa terus bergolak apabila bintangnya iaitu Cristiano Ronaldo dikatakan mula berkira-kira untuk me­ninggalkan pasukan itu.

Ia gara-gara kekecewaannya terhadap ditampilkan pasukan musim ini.

Ejen yang menguruskan karier Ronaldo, Jorge Mendes dilaporkan sudah tiba di Manchester bagi mengadakan perbincangan berhubung masa depannya di Old Trafford.

Difahamkan, Ronaldo yang kembali ke Old Trafford musim panas lalu menyuarakan kekecewaan selepas kepulangannya ke United be­r­u­bah menjadi mimpi ngeri biarpun sudah menjaringkan 14 gol dalam 22 perlawanan setakat ini.

Bagaimanapun, gol-gol yang dijaringkan Ronaldo seperti tidak membawa sebarang makna apabila skuad The Red Devils itu berada di kedudukan ketujuh dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 19 mata.

Bintang The Red Devils ini juga dikhabarkan tidak gembira dengan falsafah bola sepak yang digunakan pengurus sementara, Ralf Rangnick selepas beliau menggantikan Ole Gunnar Solskjaer.

Sekiranya United gagal untuk menempatkan diri dalam kelompok empat teratas Liga Perdana musim ini, kemungkinan besar Ronaldo akan meninggalkan pa­sukan memandangkan pemain antarabangsa Portugal itu mahu beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara.

Dalam pada itu, pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Richard Arnold yang akan menggantikan Ed Woodward bulan depan turut tidak disenangi Ronaldo sehingga mencetuskan spekulasi dia akan meninggalkan United.

Terdahulu, bilik persalinan Manchester United didakwa seakan dilanda badai apabila rakan sepasukan Ronaldo dikatakan tidak berpuas hati serta bimbang akan pengaruhnya.

Dia juga dikatakan mengganggu corak permainan pasukan berbanding menambah baik prestasi United.